AGENDA

Selangor benar 10 waris ke pengebumian jenazah pesakit Covid-19

6 Sep 2021, 10:42 AM
Selangor benar 10 waris ke pengebumian jenazah pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 6 SEPT: Kerajaan Selangor membenarkan seramai 10 waris memasuki tanah perkuburan dan berada di zon menunggu untuk proses pengebumian jenazah Covid-19 bukan secara berkumpulan.

Kebenaran itu tertakluk bagi tanah perkuburan Islam seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kariah masjid semasa tempoh Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bagaimanapun, Exco Hal Ehwal Agama Islam berkata hanya dua waris sahaja dibenarkan memasuki tanah perkuburan dan berada di zon menunggu untuk proses pengebumian secara berkumpulan.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni menjelaskan pengebumian kariah seliaan masjid pula ditetapkan di beberapa tanah perkuburan berpusat dan proses pengebumian dilaksanakan oleh petugas kubur atau sukarelawan pertubuhan bukan Islam kerajaan (NGOI) yang mendapat tauliah pihaknya.

"Bagi pengebumian di tanah perkuburan bawah PBT, ia akan dilaksanakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan," katanya menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Facebook @Zawawi Mughni hari ini.

Zawawi berkata seramai 20 waris dan lima ahli jawatankuasa (AJK) masjid dibenarkan hadir untuk pengebumian kematian biasa bagi bacaan talkin serta tahlil selepas jenazah dikebumikan di tanah perkuburan kariah seliaan masjid.

"Untuk aktiviti menziarahi kubur keluarga atau saudara, tidak melebihi lima waris pada satu-satu masa dan diterhadkan selama 30 minit sahaja," katanya.

Menurut Zawawi, untuk pengebumian kematian biasa di tanah perkuburan bersepadu seliaan PBT, kehadiran hanya 10 waris dan dibenarkan membawa imam serta pembantunya untuk bacaan talkin dan tahlil.

"Menziarahi kubur keluarga atau saudara pula tidak melebihi dua orang waris pada satu-satu masa dan diterhadkan selama 20 minit sahaja," katanya.

Jelasnya lagi, antara syarat yang perlu dipatuhi bagi mereka yang menziarahi tanah perkuburan berkenaan ialah perlu lengkap dua dos vaksin serta melakukan aktiviti ziarah pada waktu dan masa yang dibenarkan.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619