AGENDA

Bekalan air terawat bersih disalur berperingkat ke 463 kawasan terjejas

4 Sep 2021, 12:51 PM
Bekalan air terawat bersih disalur berperingkat ke 463 kawasan terjejas

SHAH ALAM, 4 SEPT: Bekalan air terawat yang bersih dan selamat mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna di 463 kawasan terjejas akibat pencemaran bau Sungai Semenyih sejak jam 5.30 petang tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata pihaknya sedang berusaha menstabilkan sistem agihan bekalan di kesemua kawasan dan ia dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi, Isnin ini.

"Air Selangor ingin menyarankan agar para pengguna yang mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

"Air Selangor juga berharap pengguna menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan," kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Beliau menambah sebanyak 94 lori tangki air digerakkan ke kawasan terjejas dan premis kritikal sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

"Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki," katanya.

Semalam, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan air tidak berjadual susulan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih.

Wilayah terjejas ialah Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan).

Perkembangan insiden akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor dan laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619