AGENDA

PKR persoal Muhyiddin dilantik pengerusi MPN, gagal urus Covid-19, ekonomi

4 Sep 2021, 11:09 AM
PKR persoal Muhyiddin dilantik pengerusi MPN, gagal urus Covid-19, ekonomi

SHAH ALAM, 4 SEPT: Lantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri dipersoal Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan berkata bekas Perdana Menteri itu gagal menguruskan negara ketika wabak Covid-19 dari segi kesihatan, ekonomi mahupun pendidikan ketika memegang tampuk pemerintahan.

"Beliau juga bertanggungjawab melaksanakan darurat, kononnya dengan tujuan memerangi Covid-19, tetapi wabak menjadi lebih serius di akhir darurat.

"Pengakhiran darurat pula dibuat tanpa perbahasan di Parlimen sehingga pihak Istana Negara sendiri menegur tindakan kerajaan Muhyiddin mengelirukan Parlimen dan ini membawa kepada kejatuhan beliau," katanya.

Tambah beliau, pelantikan itu juga menambah satu lagi lapisan birokrasi yang tidak wajar kerana Muhyiddin masih perlu membentangkan saranan MPN kepada Jemaah Menteri dahulu.

Hari ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan Muhyiddin dilantik sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya Rabu lepas.

Katanya, pelantikan itu dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619