AGENDA

Imam, bilal enggan divaksin diberi kaunseling

4 Sep 2021, 9:44 AM
Imam, bilal enggan divaksin diberi kaunseling

KOTA BHARU, 4 SEPT: Kumpulan imam dan bilal yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 akan dipanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam masa terdekat untuk menjalani sesi kaunseling.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata sesi kaunseling itu bagi menjelaskan tentang kepentingan pengambilan vaksin serta memberi penerangan kepada golongan terbabit bahawa vaksinasi tidak membawa keburukan.

"Sesetengah negeri kelompok sasar yang tertentu tidak mahu mengambil vaksin ini kerana terpengaruh dengan dakyah dan juga propaganda sesetengah pihak. Perkara ini perlu diambil tindakan sewajarnya, bukan tindakan undang-undang tetapi penerangan dan penjelasan termasuk mengadakan kaunseling," katanya.

Ahmad Marzuk berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang secara pandu lalu di Pusat Khidmat Ahli Dewan Rakyat Kampung Landak, Pengkalan Chepa hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa dukacita terhadap 95 guru agama, 17 pegawai masjid serta jurunikah yang menolak suntikan vaksin Covid-19 walaupun negeri itu mencatatkan bilangan jangkitan harian yang tinggi.

Ahmad Marzuk berkata keengganan golongan antivaksin perlu dipandang serius kerana vaksinasi itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok memandangkan hakikat Covid-19 kini merupakan endemik.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619