AGENSI

Malu insiden menangis berulang, gadis ke PPV bertopeng 'Anonymous'

4 Sep 2021, 9:04 AM
Malu insiden menangis berulang, gadis ke PPV bertopeng 'Anonymous'
Malu insiden menangis berulang, gadis ke PPV bertopeng 'Anonymous'

PETALING JAYA, 4 SEPT: Seorang gadis sanggup memakai topeng 'Anonymous' untuk menutup perasaan malu ketika mengambil suntikan kedua di pusat vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall semalam.

Hadir kira-kira 30 minit sebelum PPV berkenaan ditutup, aksi comel dan selamba Shahira Joharin mencuri tumpuan ramai termasuk petugas dan sukarelawan di situ.

Gadis berusia 29 tahun itu nekad bertopeng kerana enggan insiden menangis semasa menerima dos pertama tiga minggu lalu berulang akibat dia terlalu takutkan jarum.

"Semasa suntikan pertama memang saya menangis teruk sebab terlalu takutkan jarum dan waktu itu malu sangat dengan orang sekeliling yang memerhati ke arah saya, rasa mahu cepat-cepat keluar dari PPV.

"Dengan memakai topeng, kurang sikit rasa malu kerana bimbang kalau menangis lagi tetapi saya bersyukur semua berjalan lancar, malah semakin menjadi tumpuan dengan penampilan seperti ini," katanya.

[caption id="attachment_486194" align="alignleft" width="403"] Shahira Joharin[/caption]

Shahira yang berkhidmat sebagai pegawai bank di ibu kota berkata topeng berharga RM9 itu dibeli daripada syarikat e-dagang terkemuka Shopee minggu lalu.

Anak kedua daripada lima beradik itu juga mengakui bangga menjadi antara peserta terakhir menerima vaksin di PPV berkenaan berikutan terlepas tarikh janji temu dos kedua pada 1 September.

"Sebaik selesai tugas di pejabat, saya terus ajak rakan sekerja untuk teman tanpa janji temu. Alhamdulillah, sekarang rasa lega kerana lengkap vaksin dan berharap mampu kembali menjalani kehidupan normal," katanya.

Gadis yang menetap di Sentul, Kuala Lumpur itu turut menggesa orang ramai yang belum divaksin supaya segera berbuat demikian bagi mengelak sebarang kesulitan pada kemudian hari.

"Seperti sedia maklum ke mana sahaja kita pergi akan ada syarat yang memerlukan seseorang itu lengkap vaksin, jadi seseorang itu tidak boleh bebas selamanya jika tidak disuntik," kata Shahira.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619