AGENDA

Hanya 247 kes baharu babit kategori tiga hingga lima

28 Sep 2021, 12:56 PM
Hanya 247 kes baharu babit kategori tiga hingga lima

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Sebanyak 2.2 peratus atau 247 daripada 11,332 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan setakat 12 tengah hari tadi membabitkan kategori tiga, empat dan lima.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata baki 11,085 kes atau 97.8 peratus pula terdiri daripada mereka dalam kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua atau bergejala ringan.

Kategori tiga adalah mereka yang mempunyai radang paru-paru, empat memerlukan bantuan oksigen dan lima pula memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada jumlah kes baharu itu, 23 adalah kes import melibatkan 18 warganegara dan lima rakyat asing manakala 11,309 kes pula melibatkan penularan dalam negara membabitkan 10,475 warganegara dan 834 rakyat asing.

"Sebanyak 14,160 kes sembuh turut dicatat menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya di negara ini ialah 2,020,099 iaitu 91 peratus daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata terdapat 986 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 848 yang disahkan positif Covid-19 manakala 138 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Katanya, sebanyak 574 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 369 yang disahkan positif Covid-19 manakala 205 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan 15 kluster baharu dikesan dengan sembilan daripadanya membabitkan penularan dalam komuniti dan enam lagi berkaitan tempat kerja.

Beliau berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) pada jangkaan mengikut kes harian semalam untuk seluruh negara ialah 0.90 manakala Pahang mencatat nilai 1.0.

Kesemua negeri lain mencatatkan Rt di bawah 1.0 iaitu Perlis dan Putrajaya masing-masing 0.99; Kelantan, Perak, Terengganu dan Melaka masing-masing 0.97; Sarawak dan Johor masing-masing 0.93; Pulau Pinang (0.90); Selangor dan Negeri Sembilan masing-masing 0.88; Sabah (0.86); Kedah (0.85); Kuala Lumpur (0.84); manakala Labuan (sifar).

Dr Noor Hisham berkata data kematian akan dimuat naik dan dipaparkan dalam laman Github dan laman sesawang CovidNow menerusi https://covidnow.moh.gov.my pada tengah malam ini.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619