AGENDA

7,000 pelajar dapat internet percuma setahun mulai 1 Oktober

28 Sep 2021, 10:29 AM
7,000 pelajar dapat internet percuma setahun mulai 1 Oktober

SHAH ALAM, 28 SEPT: Seramai 7,000 pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dari 10 daerah bakal menikmati data internet percuma selama setahun mulai 1 Oktober.

Dato' Menteri Besar berkata inisiatif Data Internet Selangor memudahkan golongan berkenaan mengulang kaji pelajaran sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

"Pejabat pendidikan daerah akan mengenal pasti anak-anak yang layak untuk menerima manfaat internet percuma ini yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

"Pelajar ini akan mendapat 15 gigabit internet setiap bulan dan boleh mula aktifkan kad itu mulai 1 Oktober. Semoga ia membantu mereka dalam pembelajaran," kata Dato' Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas menyerahkan kad modul pengenalan pelanggan (SIM) percuma kepada wakil pejabat pendidikan di kediaman rasminya di sini hari ini.

Daerah terlibat ialah Gombak, Petaling Utama, Petaling Perdana, Sepang, Klang, Hulu Langat, Kuala Langat, Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Pada 4 Ogos, Amirudin memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati data internet percuma merangkumi pelajar PTRS, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619