AGENDA

Projek rintis Gelembung Pelancongan Langkawi mula tunjuk kejayaan

20 Sep 2021, 2:12 PM
Projek rintis Gelembung Pelancongan Langkawi mula tunjuk kejayaan

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Pulau Langkawi di Kedah, yang menjadi projek rintis Gelembung Pelancongan di negara ini, mula menunjukkan kejayaan sejak ia dibuka pada Khamis lepas apabila merekodkan kedatangan pelancong seramai 9,500 orang.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata setakat ini, tiada kes Covid-19 direkodkan dalam kalangan pelancong seperti dimaklumkan Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo baru-baru ini.

“Kita dapat melihat potensi di Pulau Langkawi yang menjadi model yang telah menunjukkan kejayaan.

“Secara umumnya, destinasi pelancongan lain terutama di kawasan seperti Genting Highlands dan Fraser Hills sudah menjangkau 100 peratus kadar vaksinasi lengkap dan mereka sudah bersedia untuk dibuka… Esok, insya-Allah akan diadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai pembukaan perjalanan pelancongan antara negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Malaysia Petang Ini bertajuk ‘Pelancongan Kebangkitan Industri’ yang disiarkan di Bernama TV hari ini.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum ini menyasarkan kira-kira 200,000 pelancong domestik berkunjung ke Langkawi dari 16 Sept hingga Disember 2021 selepas industri pelancongan pulau itu dibuka semula di bawah projek rintis gelembung pelancongan.

MOTAC juga menyasarkan kira-kira 30,000 pelancong berkunjung ke pulau peranginan itu sepanjang bulan September.

Nancy berkata pihaknya telah mengemukakan cadangan penggiat industri pelancongan kepada Kementerian Kewangan yang diharap akan menjadi panduan dalam pembentangan Belanjawan 2022.

“Jumaat lepas, MOTAC bersama dengan agensi dan penggiat industri pelancongan telah mengadakan perbincangan kelompok sasaran bersama Kementerian Kewangan dan MOTAC telah kemukakan apa yang telah dicadangkan penggiat industri dan nampaknya positif.

“Tujuan kita adalah untuk bantu rakyat. Insya-Allah apa yang telah kita kemukakan kepada Kementerian Kewangan akan didengar terutama sekali demi kepentingan industri kecil dan sederhana sebab mereka yang paling banyak terkesan,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619