AGENDA

Bukan semua sekolah buka 3 Oktober, tertakluk fasa pemulihan setiap negeri

13 Sep 2021, 3:39 PM
Bukan semua sekolah buka 3 Oktober, tertakluk fasa pemulihan setiap negeri

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini menjelaskan bahawa  pembukaan sekolah di seluruh negara adalah secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata jika negeri itu berada dalam Fasa Satu PPN maka tidak ada sekolah yang dibuka di negeri terbabit.

Beliau menjelaskan perkara itu kerana KPM mendapati masih ada yang mengganggap semua sekolah di seluruh negara akan dibuka pada 3 Okt ini, meskipun perincian mengenainya sudah dijelaskan semalam.

Radzi berkata dapatan itu dikenal pasti hasil pemantauan beliau terhadap maklum balas yang diutarakan melalui pelbagai platform termasuk di media sosial berkenaan pengumuman pembukaan sekolah semalam.

“Pada maklum balas yang kami lihat secara langsung atau pun melalui media termasuklah media sosial, kita dapati ada yang masih mengganggap seolah-olah pada 3 Okt ini, semua sekolah di seluruh negara akan dibuka,” katanya dalam video penjelasan pengoperasian sekolah yang diberikan kepada media, hari ini.

Mengulas lanjut perkara itu, Radzi berkata bagi negeri berada di Fasa Dua PPN pula, pembukaan untuk sekolah rendah hanya melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), sementara untuk sekolah menengah melibatkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua yang akan menduduki peperiksaan pada akhir Oktober ini.

“Untuk negeri di bawah Fasa Tiga PPN, selain daripada MBK di SKPK dan PPKI, kita akan masukkan (melibatkan) murid prasekolah, pelajar Tingkatan Lima dan juga pelajar STPM lain.

“Manakala untuk negeri di bawah Fasa Empat PPN - dua minggu pertama bermula daripada 3-17 Okt, mereka yang berada di sekolah adalah sama seperti di Fasa Tiga, sebelum kita memperluaskannya kepada murid Tahun Satu, Dua dan Tiga bermula 17-31 Okt, diikuti murid Tahun Empat, Lima dan Enam (di akhir Oktober),” katanya.

Bagi pengoperasian sekolah menengah di fasa itu pula, Radzi berkata sesi pembelajaran akan dimulakan oleh pelajar Tingkatan Lima dan Enam iaitu dari 3-17 Oktr dan selepas itu, disusuli secara berperingkat oleh pelajar tingkatan tiga, empat, satu dan dua.

Katanya, kemasukan secara berperingkat dengan kapasiti hanya 50 peratus dalam kelas ini adalah demi memastikan murid dan pelajar sekolah dapat terus rapat dengan sekolah serta dapat hadir ke sekolah dalam keadaan yang selamat.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619