AGENDA

PAKATAN pantau persefahaman enam perkara, laksana perubahan menyeluruh

13 Sep 2021, 2:56 PM
PAKATAN pantau persefahaman enam perkara, laksana perubahan menyeluruh

SHAH ALAM, 13 SEPT: Pakatan Harapan (PAKATAN) kekal komited memastikan ketelusan isi kandungan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai bersama kerajaan persekutuan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkembangan semasa garis tindakan yang dipersetujui dalam MoU Transformasi dan Kestabilan Politik akan terus dipantau.

"Sepertimana yang telah ditandatangani dalam MoU, PAKATAN akan terus memberi sokongan dalam isu Covid-19 dan kesihatan rakyat sejagat demi menstabilkan kerajaan dan ekonomi," katanya menerusi Facebook.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata sudah tiba masanya semua pihak bekerjasama demi menyelamatkan negara.

"Hari ini menandakan pembukaan Parlimen 2021 dengan penuh istiadat. Saya percaya setiap daripada kita yang hadir hari ini hanya mengutamakan kepentingan rakyat.

"Inilah masanya kita semua dapat mencapai titik persamaan dan melaksanakan perubahan yang menyeluruh demi menyelamatkan Malaysia," katanya.

Hari ini, kerajaan persekutuan dan PAKATAN melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani MoU yang membentuk kerjasama ‘dwi-partisan’ dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

Memorandum berteraskan enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619