AGENDA

Agong rasmi sidang pertama Parlimen pimpinan Ismail Sabri

13 Sep 2021, 1:00 AM
Agong rasmi sidang pertama Parlimen pimpinan Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 bakal membuka tirainya hari ini dengan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Dewan Rakyat.

Sidang Parlimen ini adalah yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, sidang Dewan Rakyat hari ini akan tertumpu kepada Titah Diraja Al-Sultan Abdullah.

Berdasarkan takwim mesyuarat Dewan Rakyat, persidangan kali ini akan berlangsung selama 17 hari sehingga 12 Okt.

Sementara itu, Mesyuarat Dewan Negara yang dirasmikan serentak dengan Dewan Rakyat hari ini akan berlangsung mulai 4 hingga 26 Okt.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di bangunan Parlimen, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun sebelum ini memaklumkan, pelbagai inisiatif dijalankan antaranya pemasangan penapis udara ultra violet di dewan besar Parlimen serta penggunaan teknologi nano di pejabat bagi membunuh bakteria dan virus.

Selain itu, Kementerian Kesihatan turut melaksanakan ujian saringan RT-PCR terhadap 1,801 individu terdiri daripada petugas Parlimen dan individu terlibat dalam persidangan itu pada 10 dan 11 Sept lepas.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan melalui hasil saringan yang dijalankan selama dua hari di Dewan Serbaguna Parlimen itu, seramai 26 individu didapati positif Covid-19 melibatkan seorang Senator dan 25 petugas Parlimen.

Selain itu, terdapat dua ahli parlimen dikesan positif hasil saringan di luar kompleks.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619