AGENDA

Tamat khidmat NGOi langgar syarat urus jenazah pesakit Covid-19

31 Ogos 2021, 7:49 AM
Tamat khidmat NGOi langgar syarat urus jenazah pesakit Covid-19

KLANG, 31 OGOS: Pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGOi) yang melanggar syarat ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk pengurusan jenazah pesakit Covid-19 akan dihentikan khidmat.

EXCO Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata tindakan tegas diambil bagi memastikan waris jenazah tidak ditindas dengan dikenakan caj perkhidmatan yang tinggi.

“Saya akan berjumpa dengan Pengarah Jais (Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad) serta NGOi yang terbabit mengurus jenazah bagi membincangkan perkara ini.

“Bagaimanapun waris perlu tahu mereka tetap perlu keluarkan kos antara RM350 hingga RM500 bagi upah gali kubur dan peralatan seperti papan penahan tanah dan keranda,” katanya selepas Program Minyak Hitam Percuma Penggerak Belia Selangor (PeBS) Sungai Kandis hari ini.

Dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam, beliau berkata Jais akan menyiasat dakwaan terdapat pihak yang mengenakan caj pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di hospital seluruh Selangor.

Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung isu tersebut membuat laporan supaya siasatan dapat dijalankan.

Pada 2 Ogos Jais menetapkan tiada bayaran dikenakan bagi pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di negeri ini, namun waris perlu menanggung kos melibatkan tanah perkuburan mengikut ketentuan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Setakat ini seramai 189 sukarelawan terdiri daripada beberapa NGOi, individu, jabatan dan beberapa pihak berkerjasama dengan Jais bagi membantu pengurusan jenazah Covid-19 di Selangor.

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619