AGENDA

PAKATAN pertimbang tawaran sertai MPN, jawatankuasa tangani Covid-19

25 Ogos 2021, 6:14 AM
PAKATAN pertimbang tawaran sertai MPN, jawatankuasa tangani Covid-19

SHAH ALAM, 25 OGOS: Pakatan Harapan (PAKATAN) akan mempertimbang tawaran Perdana Menteri baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Majlis Presiden berkata penyertaan itu bukan sekadar tangkap muat atau menjadi "rubber stamp" kepada pandangan kerajaan tetapi dibuat secara ikhlas dalam menangani pandemik dan kemelesetan ekonomi.

Katanya, perkara itu akan diputuskan dalam pertemuan pemimpin utama parti gabungan itu dengan ketua pembangkang dalam masa terdekat selain menjemput mereka menyertai atau bekerjasama dengan PAKATAN.

"Ini selaras dengan ketetapan Pemukiman Kepimpinan PAKATAN di Port Dickson pada April yang menyatakan keterbukaan PAKATAN berunding dan bekerjasama serta menggembleng seluruh tenaga di bawah konsep ‘khemah besar’ demi memantapkan blok pembangkang merangkumi 105 ahli parlimen," katanya menerusi kenyataan bersama.

Kenyataan dibuat bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Tambahnya, pertemuan itu juga akan membincangkan isu politik semasa serta persiapan menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula 6 September ini.

"Kemungkinan satu sidang khas diadakan lebih awal dari itu untuk membahaskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri serta mengisikan kekosongan timbalan speaker Dewan Rakyat ekoran peletakan jawatan Datuk Seri Azlina Othman Said."

Ahad lalu, Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Menyeru semua pihak agar meleraikan perebutan kuasa dan menamatkan keresahan rakyat, beliau berkata kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan, termasuklah dengan mewujudkan kerjasama rentas parti.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619