EXCO

Selangor tubuh sukarelawan untuk individu umur 36 tahun ke atas

24 Ogos 2021, 8:45 AM
Selangor tubuh sukarelawan untuk individu umur 36 tahun ke atas

SHAH ALAM, 24 OGOS: Kerajaan Negeri bakal melancarkan platform sukarelawan untuk individu berusia 36 tahun ke atas yang dinamakan ‘Sukarelawan Selangor’ atau SERVE pada 16 September depan.

EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata platform itu adalah kesinambungan Penggerak Belia Selangor (PeBS) yang mengehadkan kelayakan umur individu berusia 18 hingga 35 tahun.

"Kelayakan SERVE bermula usia selepas 35 tahun ke atas atau dengan makna lain tiada had umur penyertaan untuk mereka turut serta dalam program kemasyarakatan dan sukarelawan.

"Kita menyasarkan seramai 2,800 ahli atau 50 ahli di setiap 56 DUN pada tahun ini manakala pada tahun hadapan sasaran 5,600 ahli atau 100 orang di setiap 56 DUN," katanya.

Mohd Khairuddin menjawab soalan wakil rakyat Permatang Rozana Zainal Abidin berhubung peranan dan fungsi PeBS pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Tambah Mohd Khairuddin, PeBS melalui EXCO Kemasyarakatan, Jaringan dan Kesukarelawanan akan menggerakkan SERVE daripada segi penyeliaan dan pemantauan di setiap kawasan DUN.

"PeBS akan memainkan peranan dengan menggalakkan penyertaan akar umbi ke dalam SERVE.  Fungsi jentera ini di peringkat komuniti adalah memfokuskan situasi seperti bencana alam dan kecemasan," katanya.

Pada Januari lalu, Penggerak Belia Tempatan (PeBT) telah dijenamakan semula kepada PeBS yang memainkan peranan sebagai ejen penggerak agenda pembangunan belia di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kerajaan Negeri menubuhkan PeBT pada 2009 adalah bertujuan untuk melahirkan kepimpinan generasi muda yang berwibawa serta dapat menjadi ejen perubahan kepada golongan belia di Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619