AGENDA

Dua gadis kecil hias gerai makan ibu guna Jalur Gemilang

19 Ogos 2021, 8:36 AM
Dua gadis kecil hias gerai makan ibu guna Jalur Gemilang

TUMPAT, 19 OGOS: Meskipun negara masih dilanda pandemik Covid-19, ia tidak mematah semangat dua anak kecil, Syazwani Amran, 10, dan Nor Maizira Wan Aman, 9, untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-64, tahun ini.

Menggunakan waktu terluang, Syazwani berkata mereka mula memasang Jalur Gemilang di sekitar gerai makan milik ibunya di Pantai Geting dekat Pengkalan Kubor di sini, sejak awal bulan lepas.

Katanya, gerai makan itu terletak di kawasan pantai dan angin yang bertiup membuatkan bendera berkibar dan "mewarnai" kedai makan ibunya supaya kelihatan menarik.

"Sehingga kini saya bersama sepupu sudah memasang lebih 100 jalur gemilang bersaiz kecil.

“Mungkin selepas ini dengan sokongan ibu, saya akan memasang Jalur Gemilang yang bersaiz agak besar supaya kelihatan lebih menarik apabila berkibar," kata murid Tahun Empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Geting di sini.

Sungguhpun masih kecil, Syazwani yang berpendirian dan berfikiran matang berkata hanya 12 hari lagi negara akan menyambut hari bersejarah itu dan berharap dalam tempoh pandemik Covid-19, ia tidak akan melunturkan semangat rakyat untuk bersatu menangani wabak itu.

Sepatutnya dalam keadaan seperti ini, rakyat dapat teguh bersatu dan semangat itu perlu ditunjukkan dengan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang masa, luahnya.

"Sebagai murid sekolah kami telah diajar oleh guru tentang Hari Kebangsaan dan bagaimana cara untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara.

“Bagi kami berdua, mengibarkan Jalur Gemilang dan mereka bentuk dengan corak sebegini adalah cara kami melahirkan rasa bersyukur dengan keamanan negara yang dinikmati sekarang," kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan yang ke-64 pada 31 Ogos ini bertemakan ‘Malaysia Prihatin’.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619