AGENDA

Banjir: Daerah Yan, Kuala Muda diisytihar Kawasan Bencana Tahap 1

19 Ogos 2021, 5:56 AM
Banjir: Daerah Yan, Kuala Muda diisytihar Kawasan Bencana Tahap 1

ALOR SETAR, 19 OGOS: Kerajaan Kedah mengisytiharkan daerah Yan dan Kuala Muda sebagai Kawasan Bencana Tahap 1 berdasarkan Arahan Tetap Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata sehubungan itu semua agensi kerajaan dan badan berkanun yang berkaitan dengan pengurusan operasi bencana kini sedang mengambil pelbagai langkah bagi memastikan musibah yang melanda dapat ditangani dengan berkesan.

“Pihak swasta dan juga badan-badan sukarela yang mahu membantu akan diberikan latihan mencukupi di bawah penyelarasan MKN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arahan MKN No. 20 merujuk mengenai dasar dan mekanisme pengurusan bencana secara lebih menyeluruh meliputi peringkat sebelum, semasa dan selepas sesuatu kejadian bencana.

Pengurusan dan pengendalian kejadian bencana di kawasan yang dikategorikan sebagai Tahap 1 ditangani oleh agensi-agensi yang terlibat di dalam pengurusan bencana di peringkat daerah, sama ada tanpa bantuan luar atau dengan bantuan luar yang terhad.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri akan berusaha sebaik mungkin dan melakukan apa sahaja yang perlu untuk memulihkan keadaan dan kehidupan penduduk terjejas akibat banjir yang berlaku ekoran fenomena kepala air di kawasan sekitar Gunung Jerai, petang semalam.

“Meskipun kita sedang bergelut dengan musibah, saya ingin mengingatkan orang ramai terutama mereka yang terbabit, para petugas kerajaan dan juga sukarelawan yang turun membantu di lapangan agar sentiasa menjaga diri kerana ancaman Covid-19 masih berlegar di persekitaran kita,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619