AGENDA

SOP dilonggar, PAKATAN ingatkan kerajaan teguran pakar kesihatan

11 Ogos 2021, 12:27 PM
SOP dilonggar, PAKATAN ingatkan kerajaan teguran pakar kesihatan

SHAH ALAM, 11 OGOS: Pakatan Harapan (PAKATAN) mengingatkan kerajaan berhubung teguran pakar kesihatan susulan beberapa kelonggaran untuk penerima dua dos vaksin di negeri fasa dua dan tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermula semalam.

Menerusi kenyataan bersama dikeluarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng, PAKATAN berkata teguran mengenai sistem kesihatan awam di sembilan negeri dan wilayah di kedua-dua fasa PPN ini wajib dipandang serius.

"Walaupun ramai yang mungkin berasa lega adanya kelonggaran-kelonggaran ini, namun peringatan dari pakar kesihatan berkenaan sistem kesihatan awam di negeri-negeri tersebut wajib dipandang serius.

"Ini termasuklah menambah peruntukan khususnya meningkatkan jumlah katil unit rawatan rapi, pemekat oksigen dan saringan mengikut syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu cari, uji, kesan, asing, sokong dan vaksin.

"Kerajaan juga perlu melaksanakam lain-lain keperluan di negeri fasa dua sebagai langkah bersiap sedia sekiranya berlaku gelombang baharu Covid-19," katanya.

PAKATAN juga berpandangan tatacara operasi piawai (SOP) pengudaraan tempat-tempat kerja termasuk hotel dan restoran mesti dikuat kuasa dengan lebih tegas memandangkan Covid-19 boleh tersebar sebagai titisan atau aerosol.

"Insentif seperti geran, subsidi upah, utiliti dan sewa serta rebat cukai perlu diberi kepada syarikat-syarikat tersebut untuk menambah baik atau memperoleh peralatan seperti penapis udara berefisiensi tinggi" katanya.

Pada 8 Ogos, kerajaan mengumumkan individu yang lengkap menerima dua dos vaksin di seluruh negara dibenar merentas daerah dan negeri dalam semua fasa PPN

Namun untuk makan di restoran, aktiviti sukan, riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan di tempat terbuka serta aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan inap desa dan hotel hanya dibenarkan di negeri dan wilayah fasa dua dan tiga PPN.

Ketika ini negeri yang berada di fasa dua adalah Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah. Manakala bagi fasa tiga pula Perlis, Sarawak dan Labuan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619