AGENDA

Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Siti Sarah

9 Ogos 2021, 3:40 PM
Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Siti Sarah

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bintang seni tanah air Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia awal pagi ini akibat jangkitan Covid-19.

Istana Negara menerusi laman Facebook rasmi hari ini menyatakan Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarhamah sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

"Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman," demikian menurut hantaran itu.

Siti Sarah, 37, meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, pada pukul 5.13 pagi ini.

Allahyarhamah yang hamil tujuh bulan sebelum ini dimasukkan ke HCTM pada petang Rabu selepas mengalami batuk yang teruk dan kekurangan oksigen dalam badan akibat jangkitan virus itu.

Jenazah Allahyarhamah selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak di sini pada pukul 1.45 tengah hari tadi.

Siti Sarah dan suaminya pelawak Shahmira Muhammad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu, 39, serta tiga anak mereka disahkan dijangkiti wabak itu sejak 25 Julai lalu selepas menjalani ujian saringan apabila pembantu rumahnya disahkan positif virus berkenaan.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619