AGENDA

Belum ada ketetapan ibu hamil boleh dapat vaksin tanpa janji temu

9 Ogos 2021, 1:00 PM
Belum ada ketetapan ibu hamil boleh dapat vaksin tanpa janji temu

LENGGONG, 9 OGOS: Belum ada lagi ketetapan untuk membenarkan golongan ibu hamil mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara jumpa terus (walk-in) tanpa perlu menunggu tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Bagaimanapun menurutnya golongan ibu hamil tetap diberi keutamaan di bawah Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kerana mereka adalah kumpulan berisiko yang terdedah dengan jangkitan dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak akan mengendalikan proses vaksinasi termasuk penetapan tarikh.

“Kita belum ada lagi membuat sebarang pengumuman (ketetapan). Sekarang yang ada jumpa terus untuk yang berumur 60 ke atas dan komorbid di seluruh negara. Itu yang ada setakat ini, tapi ia (jumpa terus) adalah satu cadangan yang baik untuk ibu mengandung.

“Mereka perlu dikenal pasti khasnya daripada 14 minggu hingga 33 minggu supaya diberikan suntikan secepat mungkin. Mengandung adalah salah satu risiko komorbid,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Merdeka Lenggong hari ini.

Dr Noor Azmi diminta mengulas mengenai kebimbangan orang ramai dengan kes ibu hamil yang dijangkiti Covid-19 sehingga membawa maut.

Tegasnya, walaupun tiada lagi ketetapan dibuat, namun arahan serta garis panduan dikeluarkan oleh Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G) bagi proses pemberian vaksin Covid-19 kepada ibu hamil.

Pada Jun lepas Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata vaksin Covid-19 keluaran Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca sesuai disuntik kepada ibu mengandung, berdasarkan panduan yang dikemas kini Kementerian Kesihatan (KKM).

Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata orang ramai berhak meminta pengusaha dan pekerja premis makanan mengemukakan pengesahan sudah menerima dua dos suntikan Covid-19 susulan kebenaran kerajaan untuk aktiviti "dine-in" bagi negeri-negeri di bawah Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan fasa seterusnya yang akan bermula esok.

Beliau berkata langkah itu boleh diambil bagi memuaskan hati orang ramai yang masih ragu-ragu dan bimbang dengan status vaksin pemilik atau pekerja premis berkenaan.

"Kita berhak untuk bertanya sekiranya ragu-ragu, dan saya percaya akan ada tatacara operasi piawai (SOP) tertentu dikeluarkan untuk pekerja premis makanan. Kita juga meminta supaya golongan berisiko seperti warga emas, ibu hamil dan kanak-kanak tidak dibawa ke premis makanan untuk dine-in, biarlah mereka yang betul-betul sihat sahaja," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan aktiviti menjamu selera di premis makanan dibenarkan bagi mereka yang telah menerima vaksin lengkap, dan menetap di negeri-negeri dalam Fasa Dua PPN dan seterusnya, bermula esok.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619