AGENDA

MB: MPKS diharap sedia perkhidmatan lebih baik, urus tadbir berkesan

7 Ogos 2021, 10:00 AM
MB: MPKS diharap sedia perkhidmatan lebih baik, urus tadbir berkesan

SHAH ALAM, 7 OGOS: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) diharap menyediakan perkhidmatan lebih baik lagi berkesan untuk masyarakat seiring perubahan semasa.

Dato' Menteri Besar berkata perkhidmatan meliputi aktiviti kutipan hasil, kelulusan pemajuan pembangunan, penguatkuasaan dan lain-lain fungsi pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dato' Seri Amirudin Shari menjelaskan struktur organisasi juga perlu dimantapkan selain mewujudkan kakitangan berkebolehan menjalankan tugas dengan cekap dan berkesan.

"Mereka perlu menjadi jentera perkhidmatan dinamik merentasi sempadan dan melangkaui ekspektasi pemikiran biasa yang mana peranan dilaksanakan perlu seiring perubahan di peringkat domestik serta global.

"Insya-Allah, dengan strategi pengurusan pentadbiran berkesan melalui gabungan kepimpinan tertinggi serta kekuatan pasukan pegawai dan kakitangan MPKS akan menguatkan lagi pasukan kerajaan dalam mentadbir negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena pengisytiharan MPKS secara maya hari ini.

Amirudin berkata keberkesanan pentadbiran juga menjadi tuntutan masyarakat yang perlu disasarkan PBT terbabit.

"Keberkesanan sesuatu pentadbiran bermula di peringkat perancangan, kemudian terpancar di peringkat pembangunan dan penyediaan sebelum peringkat pengendalian perkhidmatan melibatkan pelbagai pemegang taruh," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619