AGENDA

Polis nafi minta sumbangan bantu sedia makanan harian PKPD Kota Damansara

7 Ogos 2021, 4:05 AM
Polis nafi minta sumbangan bantu sedia makanan harian PKPD Kota Damansara

KUALA LUMPUR 7 OGOS: Polis menafikan pasukan itu memohon sumbangan orang ramai bagi penyediaan makanan harian, di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Seksyen 4 Kota Damansara, Petaling Jaya, di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima satu hantaran melalui aplikasi WhatsApp yang tular berkaitan kutipan sumbangan, bagi penyediaan makanan harian di kawasan PKPD, Gugusan Semarak semalam.

Beliau berkata, hantaran itu menyatakan pihak polis Kota Damansara meminta menyediakan makanan harian selama 10 hari di kawasan terbabit, dan mesej itu juga menyatakan sumbangan boleh dilakukan menerusi satu akaun Maybank bernombor 564801657304 di atas penama Bekind Malaysia.

“Polis menafikan mesej yang tular itu, kerana tiada sebarang bantuan diperlukan dari mana-mana pihak untuk PKPD yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya mengesyaki terdapat individu ataupun persatuan yang mengambil kesempatan dengan cuba membuat kutipan sumbangan, untuk kepentingan peribadi.

Beliau berkata mana-mana individu yang telah membuat bayaran ke akaun bank yang dinyatakan, diminta tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

“Orang ramai dinasihat agar jangan mudah terpedaya dengan sebarang ‘hantaran’ atau mesej yang tular melibatkan nama Polis Diraja Malaysia. Masyarakat juga dinasihat untuk membuat semakan dengan polis terlebih dahulu sebagai pencegahan awal, sebelum menjadi mangsa kes penipuan,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619