AGAMA

Guru Jais disaran tambah baik profesion, bentuk peribadi pelajar cemerlang

5 Ogos 2021, 7:49 AM
Guru Jais disaran tambah baik profesion, bentuk peribadi pelajar cemerlang

SHAH ALAM, 5 OGOS: Guru sekolah agama kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) disaran mempertingkatkan keupayaan membaca, memahami dan menghayati al-Quran dalam kalangan pelajar.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata ini kerana kitab suci Islam menjadi benteng paling ampuh dalam mendepani cabaran kehidupan.

"Saya terus meletakkan keyakinan bahawa al-Quran dibaca, difahami dan dihayati akan melahirkan murid yang hidup dengan budaya Islam mampan untuk mengharungi cabaran global.

"Saya juga yakin cita-cita membentuk masyarakat madani di Selangor bukan sekadar impian dan angan-angan semata-mata," katanya berucap pada majlis sambutan Hari Guru Jais 2021 bertemakan 'Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu' yang disiarkan secara langsung di Facebook Jais hari ini.

Amirudin turut memetik hadis Rasulullah SAW yang mengingatkan muslim supaya mengembalikan rujukan kepada al-Quran dan as-sunnah untuk menangani sesuatu rintangan.

Sementara itu, beliau meminta warga pendidik supaya menambah baik profesion perguruan selaras ciri wajib sebagai murabbi, mudarris, mualim, muaddib dan mursyid demi kepuasan pelajar.

"Selain menjayakan proses penyampaian ilmu dan maklumat, mereka perlu menjadi guru yang mampu membentuk peribadi murid seterusnya melahirkan insan cemerlang.

"Mereka juga harus menjadi pendidik yang membentuk akhlak terpuji murid secara menyeluruh dari segi akal, rohani, jiwa dan fizikal di samping mewarnai kehidupan pelajar dengan adab," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619