AGENDA

Azizulhasni jangka laluan sukar berdepan Hoogland

5 Ogos 2021, 12:06 AM
Azizulhasni jangka laluan sukar berdepan Hoogland

TOKYO, 5 OGOS: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menjangkakan yang beliau akan berhadapan laluan sukar pada perlumbaan dengan pelumba Belanda Jeffrey Hoogland pada saringan pertama Pusingan Ketiga 1/8 acara pecut lelaki di Olimpik Tokyo, hari ini.

Bagaimanapun Azizulhasni percaya, apa juga boleh terjadi pada perlumbaan yang akan berlangsung di Veledrome Izu itu.

“Jangan mudah mengalah, terus cuba sebaiknya dan percaya pada diri sendiri,” katanya dalam video yang dimuat naik dalam channel Youtube Azizul Awang bertajuk ‘Pecutan Hari Pertama | Perjalanan Azizul Awang Mengejar Kilauan Emas’.

Terdahulu Hoogland memecahkan rekod Olimpik bagi acara pecut lelaki apabila mencatatkan 9.215 saat pada pusingan kelayakan.

Azizulhasni mengesahkan tiket ke pusingan ketiga atau 1/8 itu apabila mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menumpaskan pelumba Kanada, Nick Wammes pada perlumbaan repechage 1/16.

Sementara itu Azizulhasni berkata, beliau sedih kerana tidak dapat memperbaiki masa peribadi terbaiknya pada perlumbaan hari ini.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Rio 2016 itu memegang rekod kebangsaan 9.548 saat (s) yang dicatatkan di Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman tahun lepas.

Catatan terbaik beliau hari ini ialah 9.626s, yang dicatatkan pada pusingan kelayakan.

Sementara itu Azizulhasni berharap rakyat Malaysia akan terus mendoakan kejayaan beliau dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom di Olimpik Tokyo.

“Teruskan sokong kami, ikuti perkembangan terkini dan terus mendoakan kami. Insya-Allah kami akan lakukan yang terbaik esok,” kata Azizulhasni.

Muhammad Shah Firdaus pula, berpeluang untuk membalas dendam atas kekalahannya kepada Harrie Lavreysen juga dari Belanda pada Pusingan Pertama 1/32 hari ini, apabila kedua-dua mereka akan bertemu semula pada saringan kedua, Pusingan Ketiga, hari ini.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619