AGENDA

Pengusaha bas tawar khidmat hantar orang ramai ke Selvax DUN Sungai Kandis

3 Ogos 2021, 8:08 AM
Pengusaha bas tawar khidmat hantar orang ramai ke Selvax DUN Sungai Kandis

SHAH ALAM, 3 OGOS: Seorang pengusaha menawarkan bas milik syarikatnya bagi membawa orang ramai menerima pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis hari ini.

S Ganeson, 57, berkata bantuan itu sebagai tanggungjawab sosial korporat syarikatnya yang mempunyai tiga bas namun tidak dapat beroperasi kini susulan penutupan sekolah serta institut pengajian tinggi swasta ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Daripada bas itu tersadai sahaja, baik saya gunakan satu daripadanya untuk membawa penerima vaksin pada hari ini.

"Difahamkan ramai menghadapi masalah tiada pengangkutan terutama golongan kurang berkemampuan, jadi saya bantu mengikut kemampuan ada bagi meringankan beban mereka," katanya ketika ditemui.

Ganeson menjelaskan dalam memberikan khidmat itu beliau tidak lupa mengamalkan tatacara operasi piawai antaranya melaksanakan penjarakan fizikal selain menyediakan cecair pembasmi kuman.

"Sebab itu kami buat beberapa perjalanan walaupun bas ini mempunyai kapasiti 44 orang, kena jaga SOP untuk keselamatan semua," katanya.

Seramai 29 penghuni Rumah Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah antara penerima manfaat daripada perkhidmatan disediakan Ganeson.

Mereka dibawa dari premis di Jalan Kebun ke pusat pemberian vaksin (PPV) Selvax Komuniti DUN Sungai Kandis di Hotel De Palma di sini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619