ADN

Wakil rakyat agih barang dapur, tidak ketepikan warga asing

31 Jul 2021, 7:00 AM
Wakil rakyat agih barang dapur, tidak ketepikan warga asing

PETALING JAYA, 31 JULAI: Warga asing sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan tidak terkecuali menerima bantuan makanan sejak perintah kawalan ketat dikenakan awal Jun lalu.

Ahli Dewan Negerinya (ADN) Elizabeth Wong berkata golongan tersebut yang hilang pendapatan akibat Covid-19 membuat permohonan melalui Facebook, sistem pesanan ringkas dan borang dalam talian.

"Kita tidak meminggirkan warga asing kerana memahami kesempitan dihadapi mereka yang tidak bekerja selama dua bulan. Mereka menerima barang keperluan bernilai antara RM70 hingga RM80 bergantung pada bekalan.

"Selain makanan asas, mereka diberi makanan bermasak yang disumbangkan peniaga kendera saji dan kafeteria," katanya menambah lebih 1,000 keluarga mendapat manfaat termasuk rakyat tempatan.

Beliau ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall di sini semalam.

Wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei pula berkata pusat khidmatnya akan mengedarkan lampin pakai buang dan susu bayi serta dewasa mulai minggu depan.

"Inisiatif ini memang ada dalam perancangan pusat khidmat saya memandangkan banyak permohonan diterima daripada penduduk yang memerlukan bantuan tersebut.

"Bagaimanapun, program bakul makanan berjalan seperti biasa kerana sekarang waktu mencabar untuk semua orang dan kita akan bantu sehabis baik bagi mengurangkan beban penduduk," katanya.

Sementara itu, ADN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran memaklumkan sebanyak 10 pek makanan asas bernilai RM50 meliputi beras, telur, sayur, gula dan garam diedarkan kepada penduduk setiap hari.

"Barang keperluan ini akan terus dihantar kepada mereka yang menghubungi pusat khidmat tanpa mengambil kira latar belakang keluarga terbabit kerana kita percaya pemohon benar-benar memerlukan," katanya.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619