AGENDA

Wakil rakyat perlu bekerjasama, ketepi beza politik demi negara

28 Jul 2021, 10:28 AM
Wakil rakyat perlu bekerjasama, ketepi beza politik demi negara

SHAH ALAM, 28 JULAI: Ahli Parlimen Bangi mencadangkan semua wakil rakyat 'merentas' parti dengan mengetepikan perbezaan pendapat supaya negara memiliki hala tuju lebih jelas berdepan wabak Covid-19.

Dr Ong Kian Ming berkata ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang perlu berganding bahu serta bersama-sama memainkan peranan ketika waktu genting ini.

"Saya rayu kepada semua ahli berhormat supaya perlu ada rancangan dan hala tuju yang berbeza daripada sebelum ini oleh kerana masa yang luar biasa ini memerlukan kepimpinan yang luar biasa bagi semua kita di dewan yang mulia ini.

"Ini bukan bermaksud kami tidak berperanan sebagai semak imbang kepada kerajaan sedia ada tetapi kita perlu ada penyelesaian terhadap wabak Covid-19 yang melanda dunia," katanya dalam Mesyuarat Khas Parlimen Ke-14 penggal ketiga di Dewan Rakyat hari ini.

Wakil rakyat DAP itu turut memberikan contoh hasil kerjasama kerajaan persekutuan dan Kerajaan Selangor menerusi Operasi Lonjakan Kapasiti (OCS) yang menyaksikan jumlah individu mendaftar vaksin di Lembah Klang meningkat sekitar 500,000 individu.

"Program ini menggalakkan rakyat yang belum menerima janji temu untuk pergi terus  ke pusat pemberian vaksin di Lembah Klang bermula 1 Ogos.

"Usaha ini telah menaikkan kadar penerima vaksin. Ini sesuatu yang baik dan perlu dilakukan di negeri lain," katanya.

Mengenai dakwaan Kerajaan Selangor mahu melawan kerajaan pusat menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), beliau berkata perkara itu tidak tepat.

"Individu yang mendapat janji temu MySejahtera boleh menerima vaskin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang diusahakan Kerajaan Selangor menerusi SELangkah," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619