AGENDA

Dr Mahathir: Kuarantin di rumah jangkit ramai orang, segerakan vaksin semua

27 Jul 2021, 12:19 AM
Dr Mahathir: Kuarantin di rumah jangkit ramai orang, segerakan vaksin semua

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kuarantin kendiri di rumah bagi pesakit Covid-19 tidak bersesuaian kerana boleh menjangkiti keluarga atau rakan, kata Ahli Parlimen Langkawi.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hal itu kerana sebilangan besar pesakit tersebut mungkin tidak diasing sekali gus akan merebakkan jangkitan kepada orang lain.

"Tahap jangkitan bagi 17,000 pesakit ini tidak sama. Sudah tentu hanya segelintir sahaja akan dirawat dan dimasukkan ke hospital manakala yang kurang serius pula mencecah ribuan kes dan terpaksa kuarantin di rumah.

"Mereka tidak dapat dikuarantin dengan betul, mungkin ada yang tidak diasingkan dan kesudahannya individu serumah pula akan keluar tanpa sedar sebenarnya menyebarkan wabak itu," katanya menerusi kenyataan di Facebook semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata kes Covid-19 akan berterusan meningkat, malah daripada 17,000 kes baharu hanya 1,000 sahaja dapat dimasukkan ke hospital.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

"Semakin besar bilangan pesakit yang dikuarantin di rumah, semakin banyak jumlah kes baharu. Oleh itu, satu-satunya jawapan adalah vaksinasi.

"Dos vaksin 500,000 sehari tidak cukup. Vaksinasi percuma ini harus diberikan kepada semua individu dengan kadar segera," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619