AGENDA

Hospital Shah Alam terima kontena simpan mayat pesakit Covid-19

25 Jul 2021, 2:54 PM
Hospital Shah Alam terima kontena simpan mayat pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 25 JULAI: Menyedari keperluan mendesak tempat penyimpanan jenazah pesakit Covid-19, sebuah syarikat tampil memberikan sumbangan sebuah kontena bernilai RM42,000 yang siap diubah suai dengan sistem sejuk beku kepada Hospital Shah Alam hari ini.

Kontena bersaiz 3.71 meter persegi (40 kaki) yang mampu memuatkan hingga 30 jenazah itu disumbangkan oleh Syarikat Maritime Network Sdn Bhd, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu.

Ia disampaikan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Santhara Kumar kepada Pengarah Hospital Shah Alam Dr Ruzita Othman.

“Pada mulanya kontena ini ingin disumbangkan untuk kawasan di Kuala Lumpur namun diputuskan diberikan kepada Hospital Shah Alam memandangkan hospital itu lebih memerlukan ruang tambahan bagi penyimpanan jenazah pesakit Covid-19.

“Satu kontena tambahan juga akan disumbangkan dalam seminggu dua lagi untuk Hospital Shah Alam,” kata Santhara Kumar kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata ruang penyimpanan jenazah pesakit Covid-19 di Kuala Lumpur ketika ini adalah mencukupi susulan pembukaan Pusat Sehenti Urus Mayat (PUSUM) Kuala Lumpur di Kompleks Sukan Institut Sukan Negara, Jalan Raja Muda, Kampung Baru.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619