AGENDA

Tiada aliran trafik luar biasa keluar dari ibu negara

19 Jul 2021, 7:35 AM
Tiada aliran trafik luar biasa keluar dari ibu negara

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Keadaan jalan-jalan utama menuju keluar daripada ibu kota dalam keadaan terkawal setakat tengah hari ini dan tiada aliran trafik luar biasa dikesan di lebuhraya-lebuhraya utama seluruh negara menjelang sambutan Aidiladha, esok.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata pihaknya berharap agar orang ramai akur dengan larangan merentas negeri dan daerah yang dikuatkuasakan kini agar kes jangkitan Covid-19 dapat dilandaikan.

“Kami berharap orang ramai untuk duduk di rumah dan tidak keluar jika tiada urusan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis tidak menerima dokumen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) sebagai kelulusan pergerakan sah bagi tempoh empat hari mulai 18 hingga 21 Julai ini, untuk pergerakan rentas negeri susulan terdapat individu menyalahguna surat itu untuk pulang ke kampung menyambut Aidiladha.

Sementara itu, Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia berkata kesesakan hanya berlaku di beberapa lokasi terdapat Sekatan Jalan Raya yang didirikan polis.

"Di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban berlaku kesesakan biasa sepanjang 400 meter sebelum Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan susulan sekatan jalan raya (SJR) yang dijalankan di lokasi berkenaan.

"Keadaan trafik menghala ke Pantai Timur juga berada dalam keadaan terkawal yang mana kesesakan hanya berlaku di lokasi terdapat SJR, di Plaza Tol Bentong menghala ke pantai Timur dan di Plaza Tol Gombak menghala ke ibu kota dengan kesesakan dianggarkan sepanjang 200 meter," katanya.

Menurut jurucakap itu, tiada kesesakan luar biasa dikesan sepanjang laluan Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke utara.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619