AGENDA

Balik kampung guna surat Miti cetus kluster Covid-19

18 Jul 2021, 7:17 AM
Balik kampung guna surat Miti cetus kluster Covid-19

JEMPOL, 18 JULAI: Larangan pergerakan rentas negeri menggunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selama empat hari bermula hari ini diputuskan kerana terdapat individu menyalahgunakan surat berkenaan untuk pulang ke kampung.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu terbukti berlaku pada sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 12 Mei lepas sehingga mencetuskan 36 kluster Covid-19.

“Saya fikir semua orang sudah mula bercuti hari ini (sempena Hari Raya Aidiladha), pada Hari Raya Aidilfitri lalu, beratus ribu (individu) dengan pelbagai alasan termasuk menggunakan surat kebenaran merentas negeri untuk bekerja.

“Mungkin ada yang menggunakan ‘kecekapan’ mereka menipu polis dengan merentas negeri melalui jalan kebun kelapa sawit dan sebagainya tetapi anda tidak boleh menipu Covid-19,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan di pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Dewan Pejabat Daerah Jempol, Bandar Seri Jempol hari ini.

Ismail Sabri sekali mengingatkan orang ramai supaya tidak mencuba merentas negeri atau daerah sempena sambutan Aidiladha sebaliknya mengambil iktibar daripada peningkatan kes jangkitan wabak itu ketika ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan malam tadi berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima dokumen MITI sebagai kelulusan pergerakan yang sah bagi tempoh empat hari mulai 18 hingga 21 Julai, untuk pergerakan rentas negeri susulan pihaknya mengesan peningkatan bilangan kenderaan di lebuh raya untuk tempoh dua hari kebelakangan ini.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata pihaknya masih belum menerima permohonan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berkenaan pembinaan hospital medan.

Ismail Sabri berkata bagaimanapun kementerian itu bersedia membina empat lagi hospital medan bagi membantu menangani pandemik Covid-19 dengan pengambilan secara kontrak membabitkan 30 doktor dan 100 petugas kesihatan.

Katanya setakat ini terdapat enam hospital medan diwujudkan di Pokok Sena, Kedah; Tawau, Sabah; Kapit, Sarawak; Kepala Batas, Pulau Pinang, Hospital Sultanah Aminah di Johor Bharu, Johor dan Labuan.

Pada program hari ini, Ismail Sabri juga berkata PPV pandu lalu perlu diperbanyakkan lagi di lokasi lain bagi mempercepatkan proses vaksinasi di negara ini.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619