AGENSI

Yawas bantu OKU lengkap dokumen mohon insentif RM500

15 Jul 2021, 10:06 AM
Yawas bantu OKU lengkap dokumen mohon insentif RM500

SHAH ALAM, 15 JULAI: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) membantu orang kelainan upaya (OKU) melengkapkan permohonan bagi mendapat insentif RM500 di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Pengurus Besarnya Gan Pei Nei berkata setakat Isnin lalu hanya 22 orang melampirkan dokumen lengkap daripada lebih 4,000 permohonan secara dalam talian diterima sejak 1 Julai lalu.

Menurut beliau, berkemungkinan golongan berkenaan menghadapi masalah mendapatkan dokumen diperlukan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

"Kita memahami situasi itu dan bantu dengan memberi peringatan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) selain meminta kerjasama ketua komuniti mengesan pemohon terbabit.

"Yawas berhubung dengan pegawai pusat khidmat masyarakat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), ahli majlis serta ketua kampung untuk bantu pemohon melengkapkan dokumen," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Insentif sekali bayar dengan peruntukan RM600,000 merupakan sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 9 Jun.

Bantuan itu dikhususkan untuk golongan OKU yang terjejas sumber pendapatan, hilang pekerjaan tetap atau pengurangan gaji akibat wabak Covid-19.

Syarat kelayakan termasuk warganegara, berusia 18 tahun ke atas dan pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Permohonan perlu dibuat secara dalam talian melalui pautan https://www.anisselangor.com/bantuanoku atau hubungi talian 018-256 7093/018-235 6213 untuk pertanyaan lanjut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619