AGENSI

Selvax Industri lindungi pekerja, negeri lain wajar contohi Selangor

14 Jul 2021, 12:14 AM
Selvax Industri lindungi pekerja, negeri lain wajar contohi Selangor

SHAH ALAM, 14 JULAI: Program Vaksin Selangor (Selvax) Industri yang menyediakan suntikan kepada golongan pekerja harus menjadi ikutan negeri lain memandangkan manfaatnya yang besar.

Pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) berkata meskipun majikan terpaksa mengeluarkan belanja, namun ia berbaloi kerana mampu melindungi nyawa pekerja di samping kekal beroperasi.

"Kenapa perlu bayar? Rasanya perkara ini tidak perlu dipertikai sebab nyawa pekerja bernilai tinggi. Jika tak ada pekerja, siapa yang akan menjalankan operasi.

"Beli vaksin kita kena bayar sekali sahaja namun jika tak disuntik mereka terdedah jangkitan dan perlu disaring. Sekali jalani ujian memerlukan kos tak lebih RM150 dan modalnya tinggi jika kena buat berkali-kali," kata Ramli Mohd Tahir.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara bertajuk Cabaran Pengurusan Sisa Ketika Covid-19 yang disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube Selangor TV malam tadi.

Ramli berkata setiap majikan perlu memanfaatkan peluang yang ada sekiranya ada pihak luar yang menjual vaksin berkenaan.

"Saya sokong dan nampak ini bukan perkara salah. Kita kurangkan perbelanjaan lain dan tumpukan (perbelanjaan) kepada proses pembelian vaksin.

"Kalau tunggu (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) kita tak tahu bila dapat. Majikan kena ambil langkah betul walau terpaksa bayar," katanya.

Kerajaan Selangor menyediakan dua juta dos vaksin dalam Selvax Industri bagi mengawal dan melindungi semua pihak memandangkan sejumlah besar kes positif berpunca daripada tempat kerja.

Susulan itu lebih 62,000 syarikat membabitkan 2.9 juta pekerja mendaftar untuk mendapat bekalan pelalian menerusi program berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619