AGENDA

Dua juta dos vaksin diagih ke Lembah Klang, Negeri Sembilan

13 Jul 2021, 8:54 AM
Dua juta dos vaksin diagih ke Lembah Klang, Negeri Sembilan

KLANG, 13 JULAI: Sebanyak dua juta dos vaksin Covid-19 yang dijangka tiba hujung bulan ini akan diagihkan ke kawasan Lembah Klang meliputi Selangor dan Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan untuk mula digunakan pada awal Ogos nanti.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata agihan itu akan dibuat bagi membantu mempercepatkan usaha mengawal penularan jangkitan Covid-19 di kawasan berisiko tinggi.

Beliau berkata bagi tujuan yang sama, kesemua Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) sedia ada akan dioperasikan pada setiap hari dengan tambahan petugas telah dan sedang diuruskan oleh Kementerian Kesihatan.

"Mengambil kira kehadiran pesakit yang menghadapi masalah pernafasan, CAC juga akan dilengkapkan dengan keperluan oksigen sementara pesakit menunggu rujukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dan hospital," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini.

Muhyiddin berkata berdasarkan data pada 11 Julai keseluruhan kes jangkitan Covid-19 di Selangor berjumlah 286,352 orang manakala bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya pula sebanyak 88,958 orang.

"Jumlah ini merangkumi 45 peratus daripada keseluruhan kes jangkitan Covid-19 di negara ini," katanya.

Beliau berkata bagi kes kematian akibat Covid-19 pula, jumlah yang dicatatkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah sebanyak 2,700 orang iaitu 44 peratus daripada keseluruhan kes kematian yang didaftarkan di seluruh negara.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619