AGENDA

Anwar hantar usul Parlimen boleh bahas isu darurat, Covid-19

12 Jul 2021, 1:45 PM
Anwar hantar usul Parlimen boleh bahas isu darurat, Covid-19

SHAH ALAM, 12 JULAI: Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan usul Ordinan Darurat serta situasi pandemik Covid-19 dibahaskan semasa sidang Parlimen yang dijadual berlangsung mulai 26 Julai ini.

Ketua pembangkang juga akan mengemukakan usul berkait perbelanjaan, Pelan Pemulihan Negara serta kadar vaksinasi penduduk negara ini.

"Hari ini saya telah menghantar suatu usul bagi memastikan sidang dewan membahaskan Ordinan Darurat, situasi pandemik Covid-19, kadar vaksinasi dan saringan serta perincian terkait perbelanjaan dan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan kerajaan.

"Usul ini bagi memastikan perbahasan yang telus dan komprehensif akan berjalan dalam ruang lingkup demokrasi berparlimen serta lunas-lunas negara hukum (rule of law)," katanya di Facebook hari ini.

Anwar turut menyertakan salinan usul yang dihantar kepada Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin.

Kerajaan bersetuju mengadakan sidang Dewan Rakyat selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos manakala sidang Dewan Negara diadakan tiga hari bermula 3 Ogos.

Persidangan akan diadakan mengikut tatacara operasi piawaian (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada 16 Jun, Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Dewan Rakyat harus bersidang “secepat mungkin” untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan Covid-19.

Baginda sekali lagi menzahirkan pandangan sama ketika menerima menghadap speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat pada 29 Jun.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619