BERITA UTAMA

Waris mangsa Covid-19 boleh mohon bantuan RM1,000 mulai esok

11 Jul 2021, 12:37 PM
Waris mangsa Covid-19 boleh mohon bantuan RM1,000 mulai esok
Waris mangsa Covid-19 boleh mohon bantuan RM1,000 mulai esok

SHAH ALAM, 11 JULAI: Waris atau ahli keluarga mangsa Covid-19 negeri ini boleh memohon bantuan khairat kematian RM1,000 mulai esok sehingga 12 Ogos depan.

EXCO kesihatan awam berkata inisiatif di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 dibuat secara dalam talian melalui laman sesawang https://www.selangorprihatin.com.

"Penyaluran bantuan akan dikreditkan terus ke akaun bank waris dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh kelulusan permohonan sekiranya maklumat diterima lengkap," kata Dr Siti Mariah Mahmud dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan sebanyak 1,500 keluarga bakal menerima manfaat tersebut dengan keseluruhan peruntukan RM1.5 juta.

Syarat permohonan seperti berikut:

1. Warganegara Malaysia

2. Pemohon (waris terdekat) dan yang meninggal dunia (si mati) merupakan anak kelahiran Selangor serta menetap di Selangor atau bermastautin di Selangor lebih 10 tahun

3. Disahkan meninggal dunia berpunca daripada Covid-19 oleh hospital/klinik kesihatan kerajaan atau pusat perubatan berdaftar dan dinyatakan secara jelas dalam surat kematian

4. Meninggal dunia di Selangor

5. Meninggal dunia pada 2021 dan ke atas sahaja

6. Terhad satu permohonan bagi satu keluarga

Sebarang pertanyaan lanjut boleh disalurkan menerusi talian khas 24 jam di 1-800-22-6600.

Pada 9 Jun, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan berkenaan untuk pesakit wabak yang meninggal dunia membabitkan peruntukan RM1.5 juta.

Peruntukan terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619