AGENDA

1,553 penduduk Mentari Court terima vaksin, pertama kali di PKPD

5 Jul 2021, 7:52 AM
1,553 penduduk Mentari Court terima vaksin, pertama kali di PKPD

PETALING JAYA, 5 JULAI: Seramai 1,553 penduduk di Pangsapuri Mentari Court PJS 8 yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerima suntikan vaksin jenis Pfizer BioNtech hari ini.

Dato' Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri melalui Pejabat Kesihatan Daerah Petaling turut menyediakan beberapa kemudahan lain seperti Klinik Bergerak dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) untuk penduduk di sini.

"CAC dalam PKPD ini merupakan yang pertama diadakan di Malaysia. Mana-mana kes positif yang memerlukan rawatan lanjut akan dihantar ke hospital. Untuk kes positif yang tidak bergejala akan dikuarantin di rumah dan yang bergejala akan dihantar ke pusat kuarantin.

"Kita sasarkan sehingga Jumaat ini seramai 8,000 penduduk akan selesai menerima suntikan vaksin. Mereka yang divaksin ini adalah daripada kalangan individu yang mana keputusan saringan mereka negatif selepas disaring.

"Langkah ini juga dilaksana bagi memastikan penularan wabak dalam komuniti ini dapat diputuskan sekali gus mengelak PKPD berulang. Kita harap penduduk boleh beri kerjasama dalam membantu mengurangkan jumlah kes," kata Dato' Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan program pemberian vaksin kepada penduduk di Pangsapuri Mentari Court PJS 8 hari ini.

Menurut Amirudin, proses pemberian vaksin adalah inisiatif dari Pejabat Kesihatan Daerah Petaling.

Penduduk Mentari Court menjadi kumpulan pertama dalam negeri ini menerima vaksin dalam kawasan PKPD. Perumahan itu dikenakan kawalan ketat selepas lebih 500 kes Covid-19 dikesan.

Perintah kawalan turut dikenakan ke atas Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite – PKNS dalam tempoh berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619