AGENDA

Kantin, koperasi sekolah dikecualikan bayar sewa enam bulan

4 Jul 2021, 2:35 AM
Kantin, koperasi sekolah dikecualikan bayar sewa enam bulan

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan pengecualian bayaran sewaan kantin dan premis/ruang yang terjejas akibat penutupan sekolah di bawah kementerian itu bagi tempoh enam bulan mulai bulan ini.

Menurut kenyataan KPM, premis atau ruang yang diberikan pengecualian sewa itu termasuk kedai buku, koperasi, kedai dobi atau mesin layan diri yang terjejas ekoran pelaksanaan Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“KPM juga akan memberi penyambungan kontrak sewaan kantin dan premis atau ruang di sekolah bawah KPM secara automatik untuk satu tahun apabila tempoh kontrak asal tamat,” demikian menurut kenyataan itu.

Selain itu, KPM juga akan melanjutkan kontrak perkhidmatan kepada kontraktor Bekalan Makanan Bermasak yang terlibat dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan yang terjejas.

Bagi perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan, pihak kementerian menjelaskan pembayaran kepada kontraktor akan dibuat sepenuhnya seperti yang dinyatakan dalam kontrak, justeru tidak timbul isu kontraktor perlu memotong gaji pekerja mereka.

"KPM yakin inisiatif berkenaan dapat membantu meringankan beban kewangan penyedia perkhidmatan di institusi bawah KPM serta pekerja terlibat yang terkesan oleh pandemik Covid-19," demikian menurut kenyataan itu.

Sektor pendidikan hanya akan dibuka semula secara berperingkat pada Fasa Tiga dalam PPN yang dijangka bermula September 2021.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619