AGENDA

Malaysia antara 10 negara miliki komitmen tinggi keselamatan siber

1 Jul 2021, 12:00 AM
Malaysia antara 10 negara miliki komitmen tinggi keselamatan siber

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Malaysia berjaya meletakkan nama antara 10 negara teratas mempunyai komitmen tinggi dalam bidang keselamatan siber menerusi laporan Global Cybersecurity Index 2020 yang dijalankan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata hasil kajian melibatkan 194 negara itu, Malaysia memperoleh skor sebanyak 98.06 untuk berada di kedudukan kelima bersama Rusia dan Emiriah Arab Bersatu di peringkat global.

Beliau berkata di peringkat Asia Pasifik, Malaysia berada di kedudukan kedua selepas Korea Selatan dan Singapura yang berkongsi skor 98.52.

"Pencapaian ini lebih baik berbanding 2018, yang mana negara berada di kedudukan kelapan," katanya dalam kenyataan semalam.

Saifuddin berkata Malaysia menduduki tempat 10 teratas dunia itu selepas memperoleh skor penuh 20.0 dalam tiga daripada lima petunjuk prestasi utama agenda keselamatan siber 2020 ITU, iaitu komponen perundangan, pembangunan kapasiti dan kerjasama, manakala dua lagi skor iaitu teknikal (19.08) serta organisasi (18.98).

"Pengiktirafan ini membuktikan keupayaan, iltizam serta kesediaan kerajaan dalam menyediakan khidmat kepakaran, advokasi dan kesiapsiagaan dalam bidang keselamatan siber," katanya.

Saifuddin berkata dalam aspek pembangunan kapasiti, Malaysia menyediakan program latihan kemahiran teknikal dan kompetensi serta persijilan profesional melibatkan domain keselamatan siber.

Mengulas lanjut, beliau berkata Malaysia berupaya menghasilkan golongan profesional keselamatan siber bukan sahaja dalam negara malah di luar negara menerusi Skim Pensijilan Profesional Keselamatan Siber Bertauliah Global serta kolaborasi bersama sektor awam, swasta, industri serta institusi pengajian tinggi.

Katanya melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP), negara diiktiraf untuk melatih peserta dari negara ASEAN dan juga Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Saifuddin berkata Malaysia juga aktif dalam mengukuhkan kerjasama menentang keganasan siber di peringkat global melalui pelbagai platform antarabangsa, antaranya Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer ASEAN (ASEAN Cert), Forum Serantau ASEAN (ARF) dan Majlis Kerjasama keselamatan di Asia Pasifik (CSCAP).

Selain itu, Konvensyen Budapest, United Nations (UN) Counter-Terrorism Committee Executive Directorate (CTED), Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Asia Pasifik (APCERT), Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Asia Pasifik OIC (OIC-CER) serta Forum of Incident Response and Security Teams (FIRST).

"Jalinan kerjasama turut dimeterai bersama rakan serantau ASEAN seperti Filipina, Indonesia, Laos, Myanmar, Kemboja, Thailand dan Vietnam serta United Kingdom, Korea Selatan, Itali dan Australia," katanya.

Saifuddin berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia bersama-sama Cybersecurity Malaysia komited untuk terus memperkasa dan melestari prasarana serta ekosistem keselamatan siber agar terus mampan dan berdaya saing demi mencapai aspirasi membawa Malaysia ke arah pendigitalan dan menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619