BERITA UTAMA

Rebat internet tanpa had bantu ringan beban golongan sasar

30 Jun 2021, 4:34 AM
Rebat internet tanpa had bantu ringan beban golongan sasar

SHAH ALAM, 30 JUN: Tawaran internet tanpa had dengan kadar bayaran hanya RM15 sebulan memberi kelegaan kepada individu yang bergantung pada kemudahan itu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Bagi Nurul Atiqah Ramli, graduan Sarjana Komunikasi Massa Universiti Teknologi Mara, inisiatif Kerajaan Selangor itu amat membantu memandangkan ketika ini hampir semua pelajar mengulang kaji pelajaran dan hadir kelas secara maya.

"Bantuan ini meringankan beban pelajar terutama keluarga kurang berkemampuan. Adakalanya pinjaman pelajaran pun belum tentu cukup untuk membeli data internet tanpa had.

"Namun, apabila Kerajaan Negeri menawarkan kemudahan ini saya rasa sebagai seorang pelajar jangan kita lepaskan peluang itu dan manfaatkan sebaiknya," katanya ketika dihubungi.

Pemandu e-panggilan, Muhammad Nadzarul Afizan Ayob, 30, turut memuji bantuan itu yang disifatkan sangat meringankan beban golongan sepertinya yang bergantung pada internet ketika bekerja.

"Pekerjaan sebagai pemandu Grab semuanya menerusi aplikasi yang mana memerlukan capaian internet iaitu bermula untuk melihat tempahan pelanggan sehingga menghantar mereka ke lokasi.

"Justeru, jika kehabisan kuota ia menyukarkan kami untuk meneruskan kerja. Terima kasih Kerajaan Selangor kerana sediakan kemudahan ini," katanya.

Pada 9 Jun, Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari mengumumkan program Data Internet Selangor dengan peruntukan RM17.5 juta menerusi Pakej Kita Selangor 2.0.

Tawaran produk kad sim data internet tanpa had dengan kadar istimewa RM35 sebulan akan diberi subsidi RM20 sebulan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) untuk tempoh 12 bulan.

Antara golongan sasaran menerima manfaat itu adalah penjaja kecil, pelajar, ibu tunggal, pemandu teksi, warga emas dan pekerja ekonomi sampingan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619