AGENDA

Atlet gimnastik Jeremiah layak ke olimpik, penampilan sulung di Tokyo

29 Jun 2021, 2:29 AM
Atlet gimnastik Jeremiah layak ke olimpik, penampilan sulung di Tokyo

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Atlet gimnastik artistik negara Jeremiah Loo Phay Xing melayakkan diri ke Olimpik Tokyo bulan depan, yang turut menjadi penampilan sulungnya di temasya sukan berprestij itu.

Gimnas berusia 23 tahun dari Pulau Pinang itu berkata beliau seakan tidak percaya sebaik menerima khabar gembira itu, bahawa beliau akhirnya akan membuat penampilan pada temasya sukan itu, yang diimpikan selama ini sejak menjadi gimnas.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada banyak pihak yang bersama-sama dengan saya sepanjang perjalanan ini untuk menjadikannya satu realiti...membantu (saya) untuk sampai ke tahap ini, tidak mungkin ia berlaku tanpa anda semua,” katanya menerusi klip video kepada Bernama.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) Afrita Ariany Nasril dalam kenyataan lewat malam tadi, mengesahkan slot dalam acara all-around lelaki yang akan disertai Jeremiah dalam sukan itu.

Afrita Ariany berkata kejayaan Jeremiah dalam melayakkan diri ke Tokyo adalah berdasarkan keputusan penyertaannya dalam Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman.

Dengan penyertaan ini, Malaysia kini mempunyai 24 atlet daripada lapan jenis sukan termasuk ratu gimnastik negara Farah Ann Abdul Hadi yang akan beraksi di Tokyo, selain beberapa atlet lagi yang menunggu keputusan kelayakan.

Jeremiah juga menjadi gimnas lelaki kedua negara membuat kemunculan di Olimpik selepas sejarah dilakar Ng Shu Wai yang layak ke Sukan Olimpik Athens, Greece pada 2004.

Pada Sukan Asia di Indonesia 2018, Jeremiah menamatkan saingan dalam acara all-around lelaki pada kedudukan ke-14 dan berada di tempat keenam dalam acara kekuda pelana lelaki pada Sukan SEA Filipina 2019 sebelum pandemik COVID-19 melanda yang menyaksikan beliau fokus kepada proses pemulihan kecederaan bahunya sepanjang 2020.

Sukan Olimpik Tokyo dijadualkan berlangsung pada 23 Julai hingga 8 Ogos.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619