AGENDA

Petugas redah 70km tanah merah, daki bukit bukau untuk suntik vaksin

23 Jun 2021, 9:57 AM
Petugas redah 70km tanah merah, daki bukit bukau untuk suntik vaksin

KOTA MARUDU, 23 JUN: Petugas Pejabat Kesihatan Kota Marudu sanggup meredah jalan tanah merah kira-kira 70 kilometer dari pekan daerah ini, dengan keadaan bentuk muka bumi berbukit bukau semata-mata ingin melaksanakan program vaksinasi buat penduduk di pedalaman Sonsogon.

Perjalanan mengambil masa kira-kira tiga jam dengan menaiki pacuan empat roda tidak menghalang semangat petugas kesihatan terdiri daripada doktor dan jururawat serta beberapa wakil badan bukan kerajaan bagi memperluaskan manfaat program itu kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Program berlangsung tiga hari bermula semalam bertujuan memastikan tiada seorang pun rakyat termasuk penduduk di lima mukim dalam kawasan Sonsogon tercicir daripada menerima suntikan vaksin Covid-19 disediakan kerajaan. Mukim Kampung Sungai Magandai menjadi lokasi pertama mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili ketika berucap melancarkan program itu berkata seramai 300 orang di sekitar kawasan itu dikenal pasti sebagai penerima vaksin bagi fasa pertama Program Jangkauan Komuniti Vaksinasi Covid-19 Kota Marudu.

“Terdapat lebih 700 penduduk dari lapan kampung di kawasan perbukitan ini...daripada jumlah itu, sekitar 300 orang disasarkan untuk menerima vaksin di mukim ini," katanya.

Setakat ini, seramai 15,265 orang mendaftar untuk program vaksinasi melalui MySejahtera di Kota Marudu, dan 6,018 daripadanya menerima sekurang-kurangnya suntikan vaksin dos pertama, manakala 1,949 individu melengkapkan kedua-dua dos.

Ongkili yang memuji pelaksanaan Program Jangkauan Komuniti Vaksinasi Covid-19 berkata ia memberi peluang kepada masyarakat di luar bandar dan pedalaman untuk mendapatkan suntikan vaksin terutama bagi penduduk yang berdepan kesukaran untuk bergerak keluar dari kawasan mereka.

“Kami berharap agar lebih ramai penduduk hadir untuk mendaftar dan menerima vaksin sepanjang program ini diadakan di sini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu.

Beliau berkata walaupun vaksin Covid-19 bukanlah penawar, ia sekurang-kurangnya dapat membina antibodi bagi melawan virus sekali gus mencegah penularan wabak berkenaan.

“Kita perlu melindungi diri kita terlebih dahulu untuk melindungi orang lain. Oleh itu, jangan sesekali takut untuk menerima vaksin. Ia dapat menyelamatkan nyawa," katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619