PENDIDIKAN

Siswa Unisel dinobat pelajar akaun terbaik negara

18 Jun 2021, 7:24 AM
Siswa Unisel dinobat pelajar akaun terbaik negara

SHAH ALAM, 18 JUN: Seorang mahasiswa Universiti Selangor (Unisel) berjaya merangkul Anugerah Pelajar Terbaik Perakaunan 2020 pada Persidangan Antarabangsa Institut Perakaunan Malaysia (MIA).

Susulan kejayaan itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian), Muhamad Farid Wahid bakal menerima biasiswa pembangunan professional daripada Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) dan wang tunai RM500.

Beliau dinobat MIA menerusi persidangan diadakan secara dalam talian bermula 8 hingga 10 Jun lalu, kata Unisel dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Farid, 26, memaklumkan beliau bersyukur dan bangga terpilih sebagai penerima anugerah itu dan berharap kejayaan itu menjadi inspirasi pelajar lain.

"Jutaan terima kasih kepada keluarga, pensyarah dan rakan yang banyak menyokong saya selama ini. Harapan agar dapat menjadi pemangkin semangat buat yang lain," katanya.

Beliau yang telah menamatkan pengajian pada Disember tahun lalu kini bergelar Eksekutif Junior di Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Sementara itu, Penyelaras Program ISM Perakaunan (Kepujian), Datin Noor Nasyikin Md Zain berkata anugerah tahunan itu bertujuan menghargai pelajar cemerlang dalam program perakaunan membabitkan 17 universiti.

"Kejayaan Muhamad Farid adalah satu kebanggaan dan bukti program perakaunan Unisel antara terbaik dan setanding dengan universiti terkemuka dunia.

"Unisel menawarkan program pengajian berkualiti tinggi termasuk program ISM Perakaunan (Kepujian) yang diiktiraf dan mendapat akreditasi penuh badan profesional perakaunan di Malaysia dan antarabangsa," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619