AGENDA

Titah pandangan Agong: Kerajaan ambil langkah susulan

17 Jun 2021, 3:25 PM
Titah pandangan Agong: Kerajaan ambil langkah susulan

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Kerajaan akan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara sebagai menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini menyebut kerajaan mengambil maklum titah pandangan Seri Paduka seperti mana yang terkandung dalam kenyataan Istana Negara, semalam.

“Dalam sesi-sesi menghadap ke atas Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Perdana Menteri telah menyembah maklum dan menasihati Seri Paduka mengenai perjalanan pengurusan pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan Ordinan-Ordinan Darurat,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya selain itu, ia turut melibatkan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, pakej-pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan kepada rakyat, pelaksanaan sidang Parlimen, Pelan Pemulihan Negara dan perkara-perkara lain berkaitan.

Semalam, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dan kerajaan perlu bertindak tegas mempercepat proses vaksinasi agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus dicapai seawal mungkin.

Dalam kenyataan Istana Negara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka menzahirkan pandangan berkenaan setelah memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari agensi-agensi kerajaan.

Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya ‘jalan keluar’ bagi mengawal penularan wabak itu di negara ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619