AGENDA

Raja-Raja Melayu titah 'tidak perlu darurat selepas 1 Ogos'

16 Jun 2021, 12:48 PM
Raja-Raja Melayu titah 'tidak perlu darurat selepas 1 Ogos'

SHAH ALAM, 16 JUN: Raja-Raja Melayu bertitah tiada lagi keperluan melanjutkan tempoh darurat selepas ia berakhir pada 1 Ogos nanti.

Keputusan itu antara tujuh perkara yang sependapat dicapai oleh Raja-Raja Pemerintah dalam Persidangan Khas bersama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 16 Jun.

Kerajaan mengisytiharkan darurat sejak 11 Januari setelah kes harian meningkat pada hujung tahun. Namun Yang di-Pertuan Agong pernah menolak permohonan darurat sewaktu ia dimohon Oktober lalu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, enam perkara yang sependapat dipersetuju Raja-Raja Pemerintah seperti berikut:

(i) nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara-perkara lain,

(ii) program vaksinasi hendaklah dipertingkatkan dengan mengurangkan kerenah birokrasi agar mencapai matlamat imuniti kelompok 80 peratus secepat mungkin,

(iii) program menangani wabak Covid-19 hendaklah difahami serta mendapat sokongan rakyat tanpa menimbulkan sebarang keraguan dan tanpa dianggap mempunyai sebarang muslihat politik yang terselindung,

(iv) kaedah menangani wabak Covid-19 hendaklah bersifat inklusif, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam semangat yang sedia mendengar, sedia mempelajari, sedia melakukan pengubahsuaian, sedia melakukan penambahbaikan dan sedia melakukan penerokaan baharu hingga berjaya mendapat kerjasama penuh rakyat pelbagai peringkat,

(v) suhu politik yang semakin panas wajib diredakan,

(vi) pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.

Raja-Raja Pemerintah juga berpendirian senada dengan Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan Parlimen segera bersidang bagi menjamin tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab.

"Di peringkat negeri, Raja-Raja Pemerintah juga turut berpendirian agar Dewan-dewan Undangan Negeri dibolehkan bersidang secepat mungkin," menurut kenyataan itu lagi.

Sebelum itu, dalam kenyataan berasingan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menitahkan Dewan Rakyat harus bersidang “secepat mungkin” untuk membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut bertitah agar angka jangkitan wabak dilandaikan segera dengan program vaksin sebagai “satu-satunya jalan keluar” daripada Covid-19.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619