AGENDA

Badan bertindak Covid-19 giat kesan warga emas belum daftar vaksin

15 Jun 2021, 1:49 PM
Badan bertindak Covid-19 giat kesan warga emas belum daftar vaksin

SHAH ALAM, 15 JUN: Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) giat mengesan warga emas di Selangor yang belum mendaftar suntikan vaksin.

Setakat ini Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat Selangor fasa kedua mencapai 88 peratus pendaftaran daripada jumlah keseluruhan warga emas berdaftar.

Menurut kenyataan bersama Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin dan Pengerusi CITF Selangor Dato' Seri Amirudin Shari, usaha itu turut melibatkan golongan orang kurang upaya (OKU) serta mempunyai sejarah penyakit tanpa mengetepikan kepentingan warga lain.

"PICK juga tidak mengetepikan petugas sektor industri dan perkilangan memandangkan peningkatan kes serta kluster tempat kerja di Selangor yang turut berlaku di Negeri Sembilan dan Johor.

"Selain itu CITF peringkat persekutuan mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Negeri menerusi Program Vaksinasi COVID-19 Negeri Selangor (SCVP) sebagai pelengkap kepada PICK," katanya.

Kedua-dua pihak juga menyatakan komitmen untuk bersama-sama mempermudah dan menambah bilangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini.

"Selain itu, mesyuarat turut bersetuju untuk memperkemas dan menambah tenaga kerja serta sukarelawan bagi memastikan kelancaran pengoperasian PPV.

"Usaha ini melibatkan kerjasama Selgate Healthcare Sdn Bhd dan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd selain menambah unit PPV bergerak, bagi mempercepatkan imuniti kelompok," katanya.

Terdahulu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mempengerusikan Mesyuarat CITF Kebangsaan peringkat negeri bersama Dato' Menteri Besar Selangor di Bangunan Annex di sini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619