AGENDA

Doktor: Pesakit Covid-19 kategori 4, 5 ditidurkan bukan petanda nazak

13 Jun 2021, 6:21 AM
Doktor: Pesakit Covid-19 kategori 4, 5 ditidurkan bukan petanda nazak

SHAH ALAM, 13 JUN: Prosedur bius untuk menidurkan pesakit Covid-19 selain diminta mengucapkan kalimah syahadah bukan menandakan seseorang itu nazak atau tiada harapan hidup.

Ketua Jabatan Anestesiologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya berkata pesakit yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) sememangnya kritikal dan satu cara merawat dengan ditidurkan untuk diberi bantuan pernafasan.

“Selalunya pesakit diberikan bius untuk koma atau ditidurkan adalah pesakit Covid-19 kategori empat atau lima.

“Mereka mengalami kegagalan pelbagai organ seperti paru-paru yang teruk dan tidak boleh mencapai tahap oksigen yang cukup selain kegagalan jantung atau buah pinggang," kata Prof Dr Ina Ismiarti Shariffuddin seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata pesakit mendapat bekalan oksigen yang rendah (hypoxia) boleh mengakibatkan kegagalan organ misalnya, otak yang gagal berfungsi atau dipanggil 'hypoxic ischaemic encephalopathy'.

"Pada saat kritikal pesakit perlu ditidurkan dan diintubasi. Ia ditidurkan semasa pesakit dimasukkan tiub pernafasan ke saluran trakeanya.

“Tiub pernafasan yang berada dalam saluran trakea adalah menyakitkan, jika tidak ditidurkan, pesakit tidak selesa dan akan melawan proses ventilasi, ini menyebabkan trauma kepada paru-paru" katanya.

Menurutnya, tempoh koma bergantung kepada pesakit, tahap keseriusan kesan viral, namun jika organ lainnya sudah tidak berfungsi, pesakit akan mengalami banyak komplikasi.

"Di ICU, pesakit akan diberikan bantuan oksigen dan ventilator, rawatan sokongan seperti ubat untuk mencegah darah beku dan ulser perut serta steroid untuk pesakit tertentu.

"Dalam tempoh ini, pesakit perlu diberikan sumber nutrien untuk tenaga meskipun dia dalam keadaan koma, sama ada melalui tiub di hidung atau salur darah. Pesakit akan dipantau rapi 24 jam," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619