AGENDA

Khidmat pengangkutan awam perlu pohon surat benar operasi

13 Jun 2021, 4:49 AM
Khidmat pengangkutan awam perlu pohon surat benar operasi

PUTRAJAYA, 13 JUN: Semua perkhidmatan pengangkutan awam termasuk teksi dan e-panggilan hanya perlu mengemukakan surat Kementerian Pengangkutan (MOT) sebagai bukti kebenaran beroperasi dalam tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang dilanjutkan hingga 28 Jun ini.

MOT dalam kenyataan hari ini berkata pemandu teksi boleh mendapatkan surat kebenaran beroperasi daripada Sistem Maklumat Industri Logistik (SMILE) di https://application.mot.gov.my. manakala pemandu e-panggilan pula boleh mendapatkan salinan surat kebenaran MOT yang telah diberikan kepada syarikat operasi e-panggilan masing-masing.

Sebelum ini, MOT dilaporkan berkata Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam yang dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat diperlukan sebagai bukti kebenaran beroperasi di sekatan jalan raya.

Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata semua perkhidmatan pengangkutan awam termasuk teksi dan e-panggilan, dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang dilanjutkan hingga 28 Jun ini dengan mengikuti prosedur operasi standard ketat.

MOT berkata setiap perkhidmatan teksi dan e-panggilan dihadkan kepada kapasiti dua orang sahaja iaitu seorang pemandu dan seorang penumpang.

Bagaimanapun bagi tujuan perubatan seperti janji temu hospital yang disertakan surat pengesahan doktor atau vaksinasi yang disahkan melalui aplikasi MySejahtera, atau bagi tujuan kecemasan, tiga orang termasuk pemandu dibenarkan menaiki sebuah teksi atau kenderaan e-panggilan pada satu-satu masa.

Sekatan pergerakan penuh di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dijadualkan tamat pada 14 Jun ini bersambung selama dua minggu lagi, berkuat kuasa 15 hingga 28 Jun ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira jumlah kes baharu harian yang masih tinggi iaitu melebihi 5,000 kes sehari.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619