AGENDA

122 jangkitan VOC dikesan dalam 12 hari, Selangor rekod 41 kes

4 Jun 2021, 2:21 PM
122 jangkitan VOC dikesan dalam 12 hari, Selangor rekod 41 kes
122 jangkitan VOC dikesan dalam 12 hari, Selangor rekod 41 kes

SHAH ALAM, 4 JUN: Sebanyak 122 kes varian membimbangkan (VOC) dicatat di seluruh negara antara 24 Mei hingga hari ini, 41 daripadanya di Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 104 kes adalah varian Beta (B.1.351) dan masing-masing sembilan Alpha (B.1.1.7) serta Delta (B.1.617.2).

Mengikut kenyataannya, Selangor mencatat kes VOC tertinggi di negara ini dengan 34 daripadanya varian Beta, lima (Alpha) dan dua (Delta).

Sesuatu virus kerap bermutasi, atau berubah kod genetiknya, bagi memastikan kelangsungan hidupnya dalam tubuh manusia. Perubahan kod virus SARS-CoV-2 menyebabkan wujudnya varian yang lebih berbahaya.

Penyelidik menjejak perubahan arahan kod protein tegak di dinding luar virus, bahagian yang berperanan menyerang sel manusia.

VOC boleh menyebabkan:

  • penularan jangkitan yang pantas
  • jangkitan dengan gejala teruk dan komplikasi hingga membawa kematian
  • kesan perlindungan vaksin berkurangan
  • jangkitan sukar dikesan melalui ujian makmal

Kelantan dan Perak juga mencatat dua digit jangkitan, masing-masing 23 dan 10 kes manakala negeri lain hanya satu digit.

Sarawak merekodkan tujuh kes, Labuan (empat), Pulau Pinang (tiga), masing-masing Negeri Sembilan dan Perlis (dua) serta masing-masing Sabah, Melaka dan Terengganu (satu).

Selasa lalu, Selangor merekodkan kes positif Covid-19 kategori VOC tertinggi dengan 42 kes, diikuti Sarawak 20 kes iaitu tujuh kategori VOC dan 13 (VOI).

Rabu lalu, KKM mengumumkan varian Covid-19 kini dikenali dengan sebutan abjad Greek bagi mengelak nama negara dikaitkan stigma pandemik.

Varian dari United Kingdom dikenali sebagai Alpha, Afrika Selatan digelar Beta, India dilabel Delta, Filipina dikenali Theta dan Nigeria sebagai Eta.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619