AGENDA

Rakyat digalak pakai dua keping pelitup muka di tempat sesak

22 Mei 2021, 1:06 PM
Rakyat digalak pakai dua keping pelitup muka di tempat sesak

PUTRAJAYA, 22 MEI: Pemakaian dua keping pelitup muka berserta pelindung muka amat digalakkan jika seseorang berada di tempat awam yang sesak dan berisiko tinggi seperti hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemakaian dua keping pelitup muka mampu menapis sehingga 95 peratus virus Covid-19 namun buat masa ini, kerajaan belum mewajibkannya.

"Pemakaian dua keping pelitup muka adalah digalakkan tapi bukan diwajibkan, tetapi memakai pelitup muka adalah wajib sekurang-kurangnya sekeping pelitup muka.

"Kalau berada di tempat yang sesak dan berisiko tinggi, adalah amat digalakkan untuk memakai dua keping pelitup muka dan juga pelindung muka," katanya pada sidang media bersama Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata terdapat satu laporan baru-baru ini yang menyatakan virus Covid-19 bukan sahaja merebak melalui ‘droplet’ atau titisan bahkan turut merebak melalui ‘airborne’ atau bawaan udara.

Ismail Sabri pula menegaskan pemakaian pelindung muka serta niqab tanpa pelitup muka di dalamnya adalah satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Di bawah Akta 342, yang diwajibkan adalah memakai pelitup muka di tempat awam, selain pelitup muka ia tidak boleh dijadikan alasan, macam pelindung muka dan niqab tidak boleh dijadikan alasan tidak pakai pelitup muka.

"Kalau memakai pelindung muka dan niqab tidak memakai pelitup muka di dalamnya, ia tetap salah di bawah Akta 342," katanya.

Di bawah Garis Panduan Penetapan dan Pengurangan Nilai Kompaun, kerajaan memutuskan kesalahan ringan seperti tidak memakai pelitup muka, gagal menjaga penjarakan fizikal serta tidak mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau merekod butiran diri ketika memasuki premis akan dikenakan kompaun RM1,500.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619