AGENDA

PM: Sektor ekonomi, sosial dalam PKP 3.0 diperketat, perincian diumum esok

21 Mei 2021, 12:32 PM
PM: Sektor ekonomi, sosial dalam PKP 3.0 diperketat, perincian diumum esok

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan Covid-19 hari ini memutuskan untuk mengetatkan lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa dengan penambahan sekatan ke atas sektor ekonomi dan sosial.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan perincian mengenai sekatan tambahan itu akan diumumkan dalam sidang media Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok.

"Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan Covid-19 pada petang ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membincangkan secara mendalam situasi semasa penularan jangkitan Covid-19.

Mesyuarat meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung status terkini kes Covid-19 termasuk kadar kebolehjangkitan, kapasiti kesihatan setiap negeri dan cadangan tindakan bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19," demikian menurut kenyataan itu.

Pada 10 Mei lepas, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan PKP 3.0 di seluruh negara berkuat kuasa 12 Mei hingga 7 Jun sebagai usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat.

Kenyataan itu memaklumkan sidang khas berkenaan turut melibatkan kerajaan negeri bagi mengambil kira situasi semasa di negeri masing-masing serta pandangan mereka terhadap usaha untuk mengekang penularan Covid-19.

Menurut kenyataan itu, tatacara operasi piawai (SOP) bagi PKP 3.0 telah diperketatkan termasuk larangan rentas negeri dan daerah serta sekatan bagi aktiviti sosial, sukan dan rekreasi serta persidangan dan mesyuarat secara bersemuka.

"Namun begitu, penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baharu yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa yang lebih panjang," katanya lagi.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619